Terdapat
4 buah bandar dan pekan yang penting di sekitar Daerah Kota Tinggi
iaitu Bandar Kota Tinggi yang merupakan pusat pentadbiran yang utama
bagi penduduk daerah ini, Pekan Sungai Rengit, Pekan Teluk Sengat dan
Pekan Sedili Besar. Terdapat juga beberapa buah bandar baru yang telah
diwujudkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) iaitu Bandar
Penawar, Bandar Tenggara, Bandar Mas, Petri Jaya dan Bandar Perani.
Kawasan
Pilihanraya daerah ini terbahagi kepada 3 kawasan Parlimen dan 6
kawasan DUN iaitu kawasan Parlimen Kota Tinggi yang terdiri daripada
Dewan Undangan Negeri Kawasan Sedili dan Johor Lama. Parlimen Tenggara
iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Panti dan Pasir Raja.
Manakala kawasan pilihanraya Parlimen Pengerang pula ialah Dewan
Undangan Negeri Penawar dan Tanjung Surat.
Pekerjaan
penduduk di daerah Kota Tinggi ini adalah terutamanya sebagai peladang
(peneroka Felda), petani/penternak, nelayan, pekerja industri dan juga
kakitangan kerajaan awam serta swasta. Disebabkan kedudukan daerah ini
yang berdekatan dengan zon industri seperti Pasir Gudang dan Senai,
tumpuan pekerjaan sehingga kini lebih tertumpu kepada industri atau
perkilangan.
Namun begitu pekerjaan utama sebagai peneroka tidak
dibiarkan begitu sahaja dengan pendekatan baru yang dirancang oleh pihak
kerajaan khususnya Felda dan Felcra. Dalam Rancangan Malaysia Ke-9
beberapa projek khusus untuk peneroka telah dirangka seperti penanaman
semula pokok kelapa sawit bersistematik, industri kampung bersepadu
serta pertanian moden dijangka dapat menarik golongan muda untuk
menceburi bidang ini di masa-masa akan datang.
Daerah
ini terkenal dengan destinasi pelancongannya yang popular bukan sahaja
di Negeri Johor dan Malaysia, malah di negara jiran seperti Singapura
dan Indonesia. Di sinilah tempat bermulanya sejarah Kesultanan Melayu
Johor. Ia berkaitan dengan pengaruh Melayu Melaka, Johor-Riau, Singapura
dan Linggi. Sungai Johor yang mengalir di sepanjang bandar ini banyak
menyimpan sejarah zaman Kegemilangan Johor Lama. Terdapat banyak bekas
tapak peninggalan sejarah pemerintahan Kerajaan Johor Lama yang ada di
sini seperti Makam-Makam Lama dan Kota-Kota Lama. Disebabkan daerah ini
kaya dengan peninggalan warisan sejarah, maka Kota Tinggi dikenali
dengan "Daerah Pelancongan Bersejarah".
Antara
tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota
Tinggi ialah air terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km
dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota
Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya
ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak
boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit
kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti
Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa
berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi
yang unik di seluruh dunia.
Kota Tinggi juga
sememangnya terkenal dengan hidangan makanan laut. Malah, di Kota
Tinggi, Belangkas terutama telurnya kini menjadi lauk kegemaran pelbagai
lapisan masyarakat yang tinggal di bandar ini. Hidupan laut yang
menyerupai topi perisai tentera itu turut menjadi kegemaran kerabat
Diraja Johor terutama Tunku Mahkota Johor.
No comments:
Post a Comment