Juara AKKF 2013

FELDA LOK HENG BARAT JUARA AKKF 2013


Tuah akhirnya memihak kepada Felda Lok Heng Barat selaku juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) 2013 merangkul ganjaran bernilai RM1 Juta. Syukur kehadrat Ilahi kerana setelah dihampakan pada tahun 2012 di mana kejuaraan itu berpihak kepada Felda Nitar 2, akhirnya giliran Felda Lok Heng Barat mara mengukir sejarah. Berbekalkan semangat yang tidak kenal erti putus asa dan kesungguhan warganya menceriakan kampung dengan pelbagai landskap, kebersihan, bunga-bungaan dan infrastruktur dalam saling melengkapi keperluan warga disini, saguhati "duit raya" kali ini bakal melakar sejarah baru kepada warga Felda Lok Heng Barat khususnya kerana pengumumannya masih di dalam 'mood' hari raya.


Keratan akhbar ini menunjukkan warga Felda Lok Heng Barat gembira dengan kemenangan yang dimiliki bagi tahun 2013. Semoga dengan kejayaan ini menaikkan lagi semangat warga Felda Lok Heng Barat dalam menjaga keceriaan, keharmonian, serta budaya yang dipertahankan. Selain itu juga, harapan kami warga belia selaku anak jati Felda Lok Heng Barat sangat mengharapkan agar kesejahteraan ini berkekalan dan sering bertambah baik dari masa ke masa. Semoga dengan dana dan peruntukan yang sedia ada mampu menaik taraf kemajuan dan infrastruktur Felda Lok Heng Barat melangkah lebih jauh kehadapan dengan kemajuan teknologi dan kemudahan ke peringkat lebih sempurna.


Suatu kebanggaan yang mampu digarap buat seluruh warga Felda Lok Heng Barat. Kini, nama Felda Lok Heng Barat merupakan suatu nama yang kian terserlah dan bakal menjadi tumpuan umum samada masyarakat dalam mahupun luar. Justeru, dengan ganjaran yang diberikan diharap warga peneroka mampu tersenyum lebar dan menyambut kemenangan ini dengan penuh rasa kesyukuran kehadrat Allah SWT. Tahniah kepada seluruh warga Felda Lok Heng Barat yang bertungkus lumus memastikan kemenangan milik kita, tidak dilupakan juga setinggi tahniah dan penghargaan kepada pengurus Felda Lok Heng Barat khususnya serta warga kerja dan 'orang kuat' yang bersungguh sungguh memastikan kampung kita sentiasa ceria, meriah, berwarna warni, berbudaya serta sentiasa maju kehadapan. 

Ucapan 'Terima kasih' diberikan kepada felda-felda berdekatan terutama Felda Lok Heng Timur, Felda Lok Heng Selatan yang sentiasa berganding bahu dalam memajukan kelompok Gugusan Felda Lok Heng ini terutama dari aspek infrastruktur, teknologi, pembangunan belia, modal insan dan sahsiah diri dalam setiap warga felda disini. Keharmonian dan kesejahteraan ini adalah kemenangan milik kita bersama. Semoga integriti bersatu padu ini berkekalan dan menjadikan Felda Lok Heng kian disegani dan mampu berdaya maju seiring "Gagasan 1Malaysia", memartabatkan FELDA di mata dunia.



  


No comments: